SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG TING KIEW MEE

Thursday, November 4, 2010

1.3 Bahan Bantu Mengajar Dan Aktiviti Pengajaran Yang Bersesuaian Bagi Murid-Murid Tahun 2 Yang Berpencapaian Rendah

Bahagian ini akan hanya membincangkan tajuk pengajaran isipadu cecair dengan menguna-pakai pilihan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dengan aktiviti pengajaran bagi murid-murid Tahun 2 yang berpencapaian rendah.  Dalam hal ini objektif pengajaran yang ditetapkan ialah diharap di akhir pengajaran dan pembelajaran murid-murid dapat memahami dan menggunakan kosa kata yang berkaitan dengan isipadu cecair, di samping mampu menyebutkan gelas mana yang lebih air berbanding dengan gelas yang lain.  Untuk itu, bahan bantu mengajar yang akan digunakan termasuklah mesin tayangan multimedia, papan hitam, buku teks, bekas-bekas, gelas-gelas, botol-botol dan lembaran kerja.  Kesemua bahan bantu mengajar seumpama ini didapati memenuhi kesemua kriteria kerana ianya dapat dicari dan dilaksanakan dalam persekitaran sebenar, jimat dari segi kewangan, sesuai diguna-pakai pada semua peringkat murid-murid dan ianya berhubung-kait rapat serta boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian murid-murid (Mok Soon Sang 1988: 126).

            Aktiviti pengajaran dimulakan dengan tayangan video kartun yang direka-khas untuk kanak-kanak oleh Peter Weatherall melalui tajuk “Measuring Volume by Peter Weatherall” yang dimainkan melalui watak-watak kartun teko dan kartun kacang hijau dalam membuat ukuran isipadu cecair pada pengukur silinder bersenggat.  Guru harus menerangkan bahawa air sebenarnya boleh diukur jumlah kandungannya sekiranya menggunakan alat yang betul.

            Ini diikuti dengan aktiviti pengajaran set induksi yang boleh dilangsungkan oleh guru ialah memulakan jalan cerita tentang Ami ada sebotol jus oren di mana Ami memberi setengah jus oren kepada adik perempuannya.  Namun adiknya mendapati setengah botol jus oren tersebut boleh dituang penuh ke dalam sebuah gelas.  Sambil bercerita guru harus mendemonstrasikan sebotol jus oren dituang ke dalam sebuah gelas.  Setelah bercerita guru perlu menulis seluruh jalan cerita ini di papan hitam dan mengulangi jalan cerita ini untuk memastikan kesemua murid-murid faham akan isi jalan ceritanya.  Setelah itu, guru turut berbincang isi kandungan dengan murid-murid dengan bertanyakan tiga soalan seperti berikut:-

(a)    Apakah yang dua orang adik-beradik sedang buat?
Jawapannya ialah dua orang adik-beradik sedang berkongsi minuman bersama-sama.

(b)   Kenapakah mereka berbuat demikian?
Jawapannya ialah kerana mereka sayang-menyayangi antara satu sama lain.

(c)    Berapakah air yang kita perlu minum setiap hari?
      Jawapannya ialah kita perlu minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari supaya badan kita senantiasa jadi sihat dan kuat.

            Setelah aktiviti bercerita ini selesai, guru perlu menerangkan bahawa oren jus yang diminum oleh dua orang adik-beradiknya itu sebenarnya merupakan salah satu cecair.  Guru perlu menerangkan dengan lebih jelas lagi bahawa air, minyak dan susu juga merupakan cecair.  Ini untuk memastikan supaya minda murid-murid tidak terbatas makna cecair hanya kepada bekas air minuman oren sahaja, tetapi meliputi juga air, minyak dan susu.  Ini seterusnya, guru harus memperkenalkan tajuk yang akan diajar, iaitu isipadu cecair.

            Untuk itu, guru meneruskan aktiviti lain dengan menunjukkan gelas pertama yang penuh dengan air lalu meminta murid-murid mengikut guru menyebut perkataan yang dipaparkan di atas papan hitam (Rabiatol Adawiyah Binti Hashim, Yap Poh Moi, Cho Kin Tong & Tan Kim Pee 2003: 55).  Rajah 1.1 menunjukkan gelas yang penuh dengan air.

Rajah 1.1  Gelas Ini Penuh Dengan Air


            Setelah itu, guru menunjukkan gelas yang kedua yang hanya mengandungi setengah kandungan air di dalam gelas tersebut.  Lalu murid-murid diminta membaca perkataan yang dipaparkan di atas papan hitam.  Rajah 1.2 menunjukkan gelas yang separuh air.

Rajah 1.2  Gelas Ini Separuh Air


            Seterusnya, guru menunjukkan gelas yang ketiga, iaitu sebuah gelas kosong yang langsung tiada sebarang kandungan air di dalamnya.  Lalu murid-murid diminta menyebut perkataan yang dipaparkan di atas papan hitam.  Rajah 1.3 menunjukkan gelas yang tiada air.

Rajah 1.3  Gelas Ini Kosong


Guru meneruskan aktiviti lain dengan memperkenalkan perkataan “lebih daripada” dan “kurang daripada” kepada murid-murid dengan bertanyakan beberapa soalan seperti di bawah (Rabiatol Adawiyah Binti Hashim, Yap Poh Moi, Cho Kin Tong & Tan Kim Pee 2003: 75).  Rajah 1.4 menunjukkan Gelas A mempunyai air yang lebih daripada Gelas B dan Gelas B mempunyai air yang kurang daripada Gelas A.  Guru turut berbincang dengan murid-murid dengan bertanyakan empat soalan di bawah dengan berpandukan kepada gambar-gambar dalam Rajah 1.4.

(a)    Gelas manakah yang mempunyai air yang lebih?
Jawapannya ialah Gelas A.

(b)   Gelas manakah yang mempunyai air yang kurang?
Jawapannya ialah Gelas B.

(c)    Gelas A mempunyai air yang ______ daripada Gelas B?
Jawapannya ialah “lebih”.

(d)   Gelas B mempunyai air yang ______ daripada Gelas A?
Jawapannya ialah “kurang”.

Rajah 1.4  Gelas A Mempunyai Air Yang lebih Daripada Gelas B Manakala Gelas B Mempunyai Air Yang Kurang Daripada Gelas A


            Setelah mengenali kosa kata isipadu cecair, guru seterusnya menunjukkan bekas-bekas dan meminta murid-murid mengelaskan bekas-bekas itu ke dalam perkataan penuh, iaitu sama ada setengah ataupun penuh.  Setelah itu, guru turut meminta murid-murid meneliti setiap bekas air lalu diminta murid satu demi satu datang ke depan menyebut terlebih dahulu dan kemudian mengisi huruf-huruf perkataan “penuh”, “separuh” dan ‘kosong” di dalam lembaran kerja.  Setelah aktiviti ini dijalankan, guru perlu meminta murid-murid menyebutkan isipadu setiap bekas.  Rajah 1.5 menunjukkan lembaran kerja gambar pelbagai bekas yang mempunyai isipadu cecair yang berlainan.

Rajah 1.5  Lembaran Kerja Gambar Bekas-Bekas Yang Mempunyai Isipadu Cecair Yang Berlainan


            Setelah itu, guru meneruskan pengajaran dengan membahagikan murid-murid kepada 5 kumpulan untuk menjalankan aktiviti mengisi kosa kata isipadu cecair.  Rajah 1.6 menunjukkan bekas isipadu cecair yang berlainan.  Dalam hal ini guru perlu menerangkan cara-cara aktiviti ini diljalankan.  Semasa aktiviti ini dijalankan, guru perlu meronda untuk memberi bimbingan kepada setiap kumpulan supaya aktiviti ini dijalankan dengan baik dan lancar.  Setelah aktiviti ini dijalankan, guru perlu menyemak jawapan dan memberi galakan kepada setiap kumpulan.  Untuk itu, guru sekali lagi perlu menekankan bahawa kita mesti minum air sekurang-kurangnya 8 gelas sehari demi kesejahteraan kesihatan diri sendiri kerana air amat penting untuk tumbuh badan kita.
Rajah 1.6  Aktiviti Isi Kosa Kata Bagi Bekas Isipadu Cecair Yang Berlainan


            Setelah ini selesai, guru perlu mengagihkan lembaran kerja kepada murid-murid untuk membuat latihan mengikut tahap pemahaman dan penguasaan murid-murid.  Guru turut menekankan sekali lagi bahawa air amat penting untuk kita semua.  Guru perlu meronda untuk memberi bimbingan kepada murid-murid, terutamanya murid-murid yang berkategori lemah.  Guru harus juga memberi latihan pengayaan kepada murid-murid untuk menguasai kemahiran ini.

            Dalam aktiviti pengajaran yang terakhir, guru membuat rumusan pengajaran isipadu cecair dan hubung-kaitnya dengan kapasiti.  Guru mengemukakan soalan kuiz mudah dengan berlandaskan aktiviti-aktiviti yang telah dibuat sebagai penutup pengajaran dan pembelajaran.  Murid-murid yang dapat menjawab soalan akan diberi ganjaran.

            Hasil penelitian dan penganalisisan ke atas kesemua aktiviti pengajaran yang telah dirumuskan ke atas murid-murid Tahun 2 berpencapaian rendah ini didapati menarik, berkesan, lebih bersifat duniawi dan mengambil contoh-contoh pengajaran dunia sebenar.  Selain itu, aktiviti pengajaran yang dilangsungkan itu menitikberatkan penglibatan murid-murid dari proses penyediaan hinggalah proses penyesalaian masalah berbangkit, yakni penglibatan murid-murid adalah amat tinggi.  Sesungguhnya aktiviti pengajaran dan pembelajaran ini agak bersifat  terus-menerus dengan hanya memerlukan pemikiran rasional minda pemikiran murid-murid Tahun 2 tetapi didapati sesuai diguna-pakai dan dilaksanakan di kalangan mereka yang mempunyai pencapaian yang rendah.  Lantasnya, yang penting objektif pengajaran tercapai sepenuhnya selaras dengan tingkat penerimaan dan penaakulan murid-murid Tahun 2 yang berpencapaian rendah.

No comments:

Post a Comment